Persoalan sama ada peralihan kuasa di dalam UMNO akan tergugat menjelang 2020 dengan penyertaan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak timbul. Penyertaan semula Mahathir ke dalam UMNO boleh disifatkan sebagai "sireh pulang ke gagang". Ia tidak mengukuhkan pihak-pihak lain tetapi sebaliknya bakal mengukuhkan lagi UMNO. Banyak pihak yang melontarkan pandangan serta pendapat bahawa dengan penyertaan Mahathir ke dalam UMNO akan mengukuhkan lagi "cengkaman" Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Hj Yassin.
Pernyataan itu adalah terlalu "naive" dan tidak mengambil kira akan keterlibatan, kelangsungan serta pengalaman yang dimiliki oleh Muhyiddin. Persoalan sama ada Mahathir yang memaksa Muhyiddin mendesak YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan juga adalah satu lagi intrepretasi songsang yang dicetuskan oleh media tradisional. Media sudah tidak boleh membezakan diantara pernyataan, pendapat, cadangan, desakan dan paksaan. Perlu diingat bahawa sebagai "orang lama" di dalam UMNO, Muhyiddin sudah semestinya memiliki sebabnya yang tersendiri ketika memberikan pandangan akan perlunya proses peralihan kuasa di dalam UMNO dinilai semula. Sebagai "orang lama" dan juga pengikut yang setia terhadap kepimpinan parti, sudah semestinya pandangan Naib Presiden UMNO itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Perlu diingatkan bahawa pandangannya itu bukanlah bersifat peribadi tetapi mewakili suara ahli-ahli UMNO yang sememangnya masih sayangkan parti utama orang-orang Melayu sejak 62 tahun yang lalu.
Apakah benar Muhyiddin selaku proksi Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dalam pemilihan Disember ini? Ini adalah satu lagi mainan politik parti-parti pembangkang yang rata-ratanya ingin melihat pemimpin-pemimpin UMNO bertikaman antara satu sama lain. Walaupun jika benar Muhyiddin ingin berbuat demikian sudah tentu telah beliau umumkan sebelum ini. Namun kerana sayangnya kepada UMNO beliau telahpun mengumumkan untuk tidak bertanding bagi mana-mana jawatn tertinggi UMNO yang melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Namun sesuatu yang perlu diteliti ialah senario semasa khususnya yang bersangkutan dengan kekalahan UMNO di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini amat memeritkan sekaligus mencelikkan banyak pihak. Apakah semua berita-berita yang dimuatkan di dalam media arus semasa gagal untuk menenggelami fikiran dan hati rakyat akan segala jasa dan pembangunan yang telah dilangsungkan oleh Barisan Nasional dan khususnya UMNO di Pulau Pinang. Atau adakah Barisan Nasional dan UMNO sebenarnya yang tenggelam dalam fakta-fakta berleluasa media massa tempatan.
Masih terdapat juga pihak yang cuba untuk menelan kekalahan itu walaupun pahit. Namun Muhyiddin sememangnya lebih serius dan lebih vokal di dalam menerajui "kepimpinan analitikal" terhadap kekalahan UMNO itu. Beliau melihat secara holistik akan kedudukan dan survival UMNO di mata rakyat. Apakah kerana pandangannya itu maka Muhyiddin perlu dihukum, dipecat, dilucutkan jawatannya dan sebagainya. Pada peringkat ini maka ahli-ahli UMNO sendiri boleh membuat pentakrifan dan keputusan sendiri akan siapakah wakil pemimpin mereka yang sebenarnya lebih matang berpolitik dan tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan untuk memecat seseorang hanya kerana memberikan pandangan. UMNO harus memperlihatkan dinamisme kepimpinan baru yang lebih terbuka, bermuhasabah, matang pendiriannya dan yang lebih penting menunjukkan bahawa UMNO sedia untuk berubah demi orang Melayu, demi keutuhan kepimpinan Barisan Nasional dan masyarakat Malaysia keseluruhan.
Monday, September 15, 2008
Monday, April 28, 2008
SPR & Undi Tidak Dikembalikan
Sungai Buloh - Pasti ramai yang tertanya apakah lagi isu berkenaan Suruhanjaya PilihanRaya (SPR) dan Undi Tidak Dikembalikan. Pilihanraya Ke-12 (PRU12 - Penulis tidak begitu senang dengan penggunaan PRU kerana ia seumpama merujuk kepada sebuah institusi insuran) yang telah berlalu pada 8 March 2008 telah banyak mengundang berbagai spekulasi, interpretasi, hipotesis, dan kesimpulan yang datangnya dari berbagai pihak. Penulis telah membaca, mendengar komen, dan sebagainya namun satu perkara yang menarik perhatian sejak tiga minggu lalu ialah Laman Web SPR dan Keputusan PRU12 (yang sememangnya telah ada). Apabila dilewati ikon Keputusan PRU12, penulis seperti biasa "menjelajahi" dari satu negeri ke satu negeri, melewati satu DUN sehinggalah ke Parlimen (walaupun telah agak lama tidak dapat memasuki Parlimen sejak 1998) Satu perkara yang menarik perhatian ialah SPR di dalam lamannya menyatakan siapakah yang menang di setiap kawasan dan jumlah kemenangan undi, undi rosak, undi yang dimenangi oleh lawan, serta UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN. Keadaan ini menyebabkan penulis terfikir apakah maksudnya UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN itu? Kerana mengikut pengetahuan penulis mengikut Akta Pilihanraya & Perjalanan Pilihanraya, setiap pengundi diberikan 2 tiket undi (1 untuk Parlimen dan 1 untuk DUN) dan tidak ada kertas undi yang boleh dikeluarkan dari tempat mengundi. Jadi apakah maksudnya UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN itu. Hakikat ini tidak pernah diterangkan oleh SPR dan sehingga kini penulis mendapati hampir disetiap kawasan ada terdapat UNDI TIDAk DIKEMBALIKAN.
Tuesday, April 15, 2008
Rukun Negara 2
Shah Alam: Dua hari lalu, penulis telah mengutarakan isu yang berkaitan dengan kurangnya pemahaman dan penghayatan golongan muda (khususnya para pelajar di peringkat menengah dan rendah) terhadap Rukun Negara. Kegagalan memahaminya bakal melunturkan semangat jati diri golongan muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis negara pada masa yang akan datang. Suatu yang mungkin secara kebetulan, akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan menyatakan remaja hari ini semakin tidak patriotik dan keadaan ini mempunyai kesan yang serius terhadap proses pembangunan negara. Keadaan ini memaksa kementerian beliau mengambil langkah di dalam menilai semula polisi kementerian dan cara untuk mendekati mereka. Penulis berpandangan bahawa keadaan yang sedang dihadapi adalah suatu yang memerlukan kerjasama secara menyeluruh yang melibatkan semua pihak. Khususnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memfokuskan aktiviti mereka kepada hal ehwal pelajaran. Berkenaan isu kegagalan mendekati golongan remaja yang kini banyak terdedah terhadap media baru iaitu Internet (Blogs) sememangnya tidak dapat dinafikan. Namun suatu yang pasti ialah kita perlu mengenal pasti mekanisme yang paling tepat di dalam usaha menanam semangat cintakan negara, bangsa dan agama. Telah banyak wang disalurkan kepada berbagai institusi namun adakah pernah pihak yang berkenaan menilai semula "hasil tuaian" yang dikembangkan menerusi institusi yang berkenaan.
-Tamat-
(Belum Disunting)
Sunday, April 13, 2008
Rukun Negara - Lunturnya Jiwa Generasi Muda
Machang - Kurangnya pemahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara (RN) bakal menjadi penyebab kepada runtuhnya jati diri golongan muda di negara ini. RN yang mengandungi LIMA prinsip asas utama kewujudan negara Malaysia itu dibentuk akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang meninggalkan titik hitam dalam sejarah politik negara. Ianya kemudian dikhabar dan disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia secara umum dan secara khususnya kepada para pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia. Mereka dibiasakan dengan pembacaan ikrar yang mengandungi RN ketika sesi perhimpunan. Sehingga kini penulis masih lagi mengingati ketika ikrar RN dibaca, ianya penuh dengan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Tetapi kini, kebanggaan, pemahaman dan penghayatan terhadap RN semakin hilang dari jiwa golongan muda. Adakah keadaan yang berlaku ini akibat kurangnya penekanan di peringkat institusi pendidikan negara atau kebanyakan daripada kita hanya melihat RN yang tertera di belakang buku rampaian sekolah sekadar penghias kepada kulit belakangnya sahaja. Penulis beranggapan bahawa keadaan yang berlaku ini adalah hasil daripada kecelaruan penekanan pendidikan yang hanya mementingkan pencapaian akademik yang dizahirkan menerusi angka-angka. Kebanggaan mendapat angka yang dipenuhi seperti 10A, 12A, 15A dan 20A adalah penunjuk aras kepada kemajuan pendidikan tetapi hakikatnya para pelajar kita "hilang dalam terang" terhadap pemahaman (salah satu daripadanya) terhadap RN. Semangat cintakan negara, kenal hati budi bangsa, agama, undang-undang dan kesetiaan mulai luntur. Penulis tinggalkan bait-bait kata ini untuk direnungi:
" Pendidikan bukan hanya menganjurkan kebijaksanaan dan ia juga bukan sekadar kemahiran, membentuk sahsiah dan bukan sekadar mengajarkan pengetahuan teknikal"
" Pendidikan bukan hanya menganjurkan kebijaksanaan dan ia juga bukan sekadar kemahiran, membentuk sahsiah dan bukan sekadar mengajarkan pengetahuan teknikal"
Subscribe to:
Posts (Atom)
