Persoalan sama ada peralihan kuasa di dalam UMNO akan tergugat menjelang 2020 dengan penyertaan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak timbul. Penyertaan semula Mahathir ke dalam UMNO boleh disifatkan sebagai "sireh pulang ke gagang". Ia tidak mengukuhkan pihak-pihak lain tetapi sebaliknya bakal mengukuhkan lagi UMNO. Banyak pihak yang melontarkan pandangan serta pendapat bahawa dengan penyertaan Mahathir ke dalam UMNO akan mengukuhkan lagi "cengkaman" Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin Hj Yassin.
Pernyataan itu adalah terlalu "naive" dan tidak mengambil kira akan keterlibatan, kelangsungan serta pengalaman yang dimiliki oleh Muhyiddin. Persoalan sama ada Mahathir yang memaksa Muhyiddin mendesak YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan juga adalah satu lagi intrepretasi songsang yang dicetuskan oleh media tradisional. Media sudah tidak boleh membezakan diantara pernyataan, pendapat, cadangan, desakan dan paksaan. Perlu diingat bahawa sebagai "orang lama" di dalam UMNO, Muhyiddin sudah semestinya memiliki sebabnya yang tersendiri ketika memberikan pandangan akan perlunya proses peralihan kuasa di dalam UMNO dinilai semula. Sebagai "orang lama" dan juga pengikut yang setia terhadap kepimpinan parti, sudah semestinya pandangan Naib Presiden UMNO itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Perlu diingatkan bahawa pandangannya itu bukanlah bersifat peribadi tetapi mewakili suara ahli-ahli UMNO yang sememangnya masih sayangkan parti utama orang-orang Melayu sejak 62 tahun yang lalu.
Apakah benar Muhyiddin selaku proksi Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dalam pemilihan Disember ini? Ini adalah satu lagi mainan politik parti-parti pembangkang yang rata-ratanya ingin melihat pemimpin-pemimpin UMNO bertikaman antara satu sama lain. Walaupun jika benar Muhyiddin ingin berbuat demikian sudah tentu telah beliau umumkan sebelum ini. Namun kerana sayangnya kepada UMNO beliau telahpun mengumumkan untuk tidak bertanding bagi mana-mana jawatn tertinggi UMNO yang melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Namun sesuatu yang perlu diteliti ialah senario semasa khususnya yang bersangkutan dengan kekalahan UMNO di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini amat memeritkan sekaligus mencelikkan banyak pihak. Apakah semua berita-berita yang dimuatkan di dalam media arus semasa gagal untuk menenggelami fikiran dan hati rakyat akan segala jasa dan pembangunan yang telah dilangsungkan oleh Barisan Nasional dan khususnya UMNO di Pulau Pinang. Atau adakah Barisan Nasional dan UMNO sebenarnya yang tenggelam dalam fakta-fakta berleluasa media massa tempatan.
Masih terdapat juga pihak yang cuba untuk menelan kekalahan itu walaupun pahit. Namun Muhyiddin sememangnya lebih serius dan lebih vokal di dalam menerajui "kepimpinan analitikal" terhadap kekalahan UMNO itu. Beliau melihat secara holistik akan kedudukan dan survival UMNO di mata rakyat. Apakah kerana pandangannya itu maka Muhyiddin perlu dihukum, dipecat, dilucutkan jawatannya dan sebagainya. Pada peringkat ini maka ahli-ahli UMNO sendiri boleh membuat pentakrifan dan keputusan sendiri akan siapakah wakil pemimpin mereka yang sebenarnya lebih matang berpolitik dan tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan untuk memecat seseorang hanya kerana memberikan pandangan. UMNO harus memperlihatkan dinamisme kepimpinan baru yang lebih terbuka, bermuhasabah, matang pendiriannya dan yang lebih penting menunjukkan bahawa UMNO sedia untuk berubah demi orang Melayu, demi keutuhan kepimpinan Barisan Nasional dan masyarakat Malaysia keseluruhan.
Monday, September 15, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
