Sunday, April 13, 2008

Rukun Negara - Lunturnya Jiwa Generasi Muda

Machang - Kurangnya pemahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara (RN) bakal menjadi penyebab kepada runtuhnya jati diri golongan muda di negara ini. RN yang mengandungi LIMA prinsip asas utama kewujudan negara Malaysia itu dibentuk akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang meninggalkan titik hitam dalam sejarah politik negara. Ianya kemudian dikhabar dan disemai dalam kalangan masyarakat Malaysia secara umum dan secara khususnya kepada para pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia. Mereka dibiasakan dengan pembacaan ikrar yang mengandungi RN ketika sesi perhimpunan. Sehingga kini penulis masih lagi mengingati ketika ikrar RN dibaca, ianya penuh dengan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Tetapi kini, kebanggaan, pemahaman dan penghayatan terhadap RN semakin hilang dari jiwa golongan muda. Adakah keadaan yang berlaku ini akibat kurangnya penekanan di peringkat institusi pendidikan negara atau kebanyakan daripada kita hanya melihat RN yang tertera di belakang buku rampaian sekolah sekadar penghias kepada kulit belakangnya sahaja. Penulis beranggapan bahawa keadaan yang berlaku ini adalah hasil daripada kecelaruan penekanan pendidikan yang hanya mementingkan pencapaian akademik yang dizahirkan menerusi angka-angka. Kebanggaan mendapat angka yang dipenuhi seperti 10A, 12A, 15A dan 20A adalah penunjuk aras kepada kemajuan pendidikan tetapi hakikatnya para pelajar kita "hilang dalam terang" terhadap pemahaman (salah satu daripadanya) terhadap RN. Semangat cintakan negara, kenal hati budi bangsa, agama, undang-undang dan kesetiaan mulai luntur. Penulis tinggalkan bait-bait kata ini untuk direnungi:
" Pendidikan bukan hanya menganjurkan kebijaksanaan dan ia juga bukan sekadar kemahiran, membentuk sahsiah dan bukan sekadar mengajarkan pengetahuan teknikal"

1 comment:

shafizanjohari said...

FYI, dah x da dah nak kena baca ikrar pagi2 isnin kat perhimpunan!!